30 Ogos 2012- Sekolah Rendah Agama Bandar Malawati telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah dengan penuh meriah. Seramai lebih 800 orang murid telah hadir ke sekolah untuk bersama-sama meraikan sambutan hari raya sekolah ini dengan penuh warna-warni. Program ini merupakan program tahunan sekolah di bawah unit Ko-Kurikulum yang diketuai oleh Ustazah Suhaida Binti Mohd Nokin. Seperti tahun-tahun yang sebelum ini murid-murid dibenarkan untuk memakai baju raya bertema baju melayu untuk lelaki dan baju kurung ataupun sebarang pakaian yang sopan untuk perempuan.
Walaubagaimanapun sekolah cuba membuat sedikit kelainnan pada tahun ini dengan menerbitkan Malawati FM bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan hari raya. Program ini merupakan percubaan khas untuk sambutan hari raya pada kali ini dengan hanya menggunakan kemudahan sistem siaraya sekolah sedia ada sepenuhnya serta menggunakan tenaga guru sendiri sebagai juruhebah.
Konti ringkas Malawati FM
Sambutan dimulakan dengan bacaan Doa Rabitah dari UNIC oleh Malawati FM dan seterusnya warga sekolah disajikan dengan lagu-lagu nasyid dan hari raya bagi memeriahkan lagi suasana hari raya. Melalui Program Malawati FM ini juga dapat disiarkan rakaman Perutusan Hari Raya dari Guru Besar SRA Bandar Malawati, Ustazah Asmah Binti Hassim dan rakaman ucapan Selamat Hari Raya dari sebahagian guru-guru SRA Bandar Malawati. Rakaman ucapan ini boleh ditonton di Blog ini di entry
Perutusan Guru Besar dan
Ucapan Guru.
Majlis sambutan ini meriah dengan pelbagai juadah seperti kuih muih, rendang ayam, daging, ala-ala dan sebagainya. Pihak sekolah juga menyediakan juadah seperti nasi impit dan kuah kacang untuk semua murid dan guru. Sekolah amat berbesar hati di atas keprihatinan ibubapa yang sudi menyediakan juadah yang cukup enak dan pelbagai kepada anak-anak mereka untuk di bawa ke sekolah. Pihak sekolah amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua ibubapa penjaga.
Ada juga yang mengambil kesempatan pada sambutan kali ini untuk menyambut Hari Lahir bersama rakan-rakan dikelas. Pihak sekolah ucapkan Selamat Hari Lahir.
Dalam sambutan kali ini juga melalui Malawati FM telah memberi peluang kepada semua warga SRA Bandar Malawati yang berhajat untuk membuat ucapan dan sampaikan salam Aidilfitri kepada rakan-rakan serta guru-guru yang disayangi. berpuluh-puluh murid telah datang ke konti Malawati FM untuk menyampaikan ucapan serta tidak kurang juga yang menyampaikan pesanan untuk dibacakan ke udara. Sambutan hari raya kali ini diakhiri dengan perhimpunan murid untuk guru-guru dan guru besar menyampaikan amanat dan nasihat kepada murid-murid.
Secara ringkasnya sambutan kali ini lebih meriah berbanding tahun-tahun lalu. Mudah-mudahan ianya akan dapat diteruskan di masa-masa akan datang. Gambar penuh program boleh dilihat dengan melayari FB SRA Bandar Malawati. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.